Kem Astronomi 2010

Print PDF

 

 

Kem Astronomi 2010 telah berlangsung dengan berjayanya di Kem Belia Pueh, Sematan dengan kira-kira 70 peserta dari kawasan Kuching, Kota Samarahan, Santubong serta Sematan telah berpeluang untuk mengikuti kem yang bermotifkan astronomi ini.

 

Kem yang berlangsung dari 23 hingga 25 April ini telah menampilkan beberapa aktiviti yang menarik untuk menguji minda setiap peserta yang antaranya berumur dari 16 tahun ke atas.

Aktiviti-aktiviti astronomi telah dijalankan dengan kerjasama antara Planetarium Sultan Iskandar, Persatuan Astronomi Sarawak dan Planetarium Negera yang melibatkan teori dan aktiviti tentang cerapan bintang pada sebelah malam dan awal pagi. Namun, para peserta pada sesi ini bernasib agak malam kerana cuaca ketika berada di kem itu amat tidak mengizinkan dan bintang jarang dapat dilihat disebabkan awan terlalu tebal dan hujan.

Aktiviti membuat roket turut menjadi perhatian dengan para peserta berpeluang untuk membuat roket masing-masing hasil daripada tunjuk-ajar Encik Jong Tze Kian dari Planetarium Negara yang berkongsi ilmu agar peserta mempunyai asas untuk membuat roket air yang mampu untuk dilancarkan dengan jauh.

Selain itu, peserta turut telah diberi tugasan dengan mereka telah diminta untuk membuat video selama 60 saat dengan hanya menggunakan telefon bimbit bagi mereka menunjukkan kepakaran dalam merakam video daripada tajuk-tajuk yang telah diberikan.

Aktiviti mencerap dengan menggunakan teleskop turut diadakan dengan para peserta turut diberi tunjuk ajar tentang cara menggunakan teleskop oleh kakitangan PSI.

Kem Astronomi 2010 ini cuba menerapkan nilai-nilai astronomi kepada para peserta selain mereka turut digalakkan untuk berkawan antara satu sama lain ketika menyertai program astronomi yang dianjurkan oleh pihak PSI.

Secara tidak langsung, kem astronomi ini sebagai asas kepada pihak PSI dan SAS untuk memperkenalkan astronomi kepada para peserta dari kawasan berdekatan dalam keadaan yang membolehkan mereka mengalami dengan sendiri pengalaman mencerap bintang serta buruj dan menggunakan teleskop.